University Community

UMP agih makanan sahur untuk warga kota

15
16
13

Kuala Lumpur, 16 Jun- Lebih 1000 pek makanan juadah bersahur diedarkan sepanjang Program Singgah Sahur UMP @ KL yang berlangsung baru-baru ini di Kuala Lumpur. Lebih menarik juadah nasi berlaukkan Gulai Kawah tradisi negeri Pahang disediakan sendiri sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) membabitkan mahasiswa Perwakilan Kolej Kediaman (Peka) 5 dan Skuad MyGift yang diselaras Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) universiti ini.

Program yang diadakan masuk tahun kedua ini merupakan sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi manfaat warga kota yang bertugas malam serta membantu golongan yang kurang berkemampuan. Dalam program ini seramai 50 sukarelawan UMP yang terdiri dari pada pelajar dan pengurusan Universiti turun padang menyerahkan sumbangan juadah bersahur.

Antara lokasi adalah sekitar Masjid Negara, Sekitar Menara Maybank / Muzium​Telekom dan Sekitar Tune Hotel . Pada masa yang sama menyerahkan pek makanan juadah untuk anggota keselamatan di Balai Polis Dang Wangi dan Balai Polis Travers Polis Diraja Malaysia.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, program khidmat sosial UMP yang diperkenalkan sebagai Inisiatif MyGift ini sebagai kemudahan kepada warga kampus dan alumninya serta pihak luar terutama industri dan syarikat untuk menyumbang kepada tabung endowmen universiti berkenaan.

"Salah satu daripada 10 tabung atau endowmen yang diperkenalkan adalah Tabung Komuniti yang membolehkan UMP menjalankan program membantu golongan sasar menerusi program Jejak Asnaf dengan memberi bantuan keperluan harian seperti tepung, beras, minyak, susu dan lain-lain," katanya.

Selain itu membabitkan Endowmen Kursi, Endowmen Biasiswa Pelajar, Endowmen Makmal/Kemudahan dan Endowmen Kecemerlangan ma­nakala tabungan lain adalah Tabung Ramadan, Tabung Masjid, Tabung Bencana, Tabung Wakaf, Tabung Komuniti serta Tabung Prasarana.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dan Universiti Awam yang berteraskan bidang-bidang kejuruteraan, teknikal dan teknologi, UMP sentiasa komited untuk membuka ruang kerjasama dengan industri dalam pelbagai lapangan termasuklah bidang kesukarelawanan.

​Dalam masa yang sama sukarelawan berkesempatan bersahur bersama Penghuni Asrama Darul Falah (ASDAF) dan menyerahkan sumbangan duit raya MyGift untuk anak-anak di sini. Rombongan UMP disambut pengetua rumah berkenaan, Saari Kiban. Hadir sama Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyGift, Datuk Mohd Nizar Dato Sri Mohd. Najib dan Izwan Hasli Ibrahim. Turut serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin dan Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid.

Bersempena Ramadan, UMP dengan kerjasama UDA Holdings Berhad menganjurkan Program Indahnya Ramadan UDA-Komuniti 1 Malaysia (KIM), Raikan Ramadan UMP-Kelab Program Mesra Dakwah (PERAMAH) dan Jejak Asnaf dengan sumbangan keperluan harian dan baju raya kepada golongan asnaf sekitar Kuantan dan Pekan.

Print Email