University Community

Program Jejak Asnaf BPA Bersama Komuniti Kampung Langgar Pekan

12
13
Pekan, 14 Jun – Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) menganjurkan program Jejak Asnaf sempena menyambut Bulan Ramadhan kali ini dengan menyumbang barang keperluan harian dan wang tunai kepada lapan buah keluarga dan seorang kanak-kanak kelainan upaya (OKU) di Kampung Langgar, Pekan Pahang. Program mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan.

Usaha ini adalah sebabahagian daripada usaha dalam menyokong Inisiatif “Universiti Komuniti” yang diperkenalkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam menerapkan nilai kemanusiaan juga merealisasikan agenda kesukarelawanan dalam kalangan warga kerja universiti khususnya BPA.

Menurut Timbalan Pendaftar BPA, Arman A. Rahim berkata, walaupun berdepan dengan kekangan masa, pihaknya berjaya mengumpul sumbangan dalam bentuk wang ringgit dan barangan keperluan daripada warga UMP dan juga orang awam. “Usaha ini mampu membantu meringankan beban golongan yang memerlukan terutamanya pada bulan Ramadhan dan menjelangnya Hari Raya Aidil Fitri yang bakal disambut tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu pihaknya merancang untuk menjadikan program sebegini sebagai program tahunan jabatan di samping membantu menjenamakan universiti agar dikenali selain membudayakan sikap kesukarelawanan dalam kalangan warga kerja.

Bagi penerima bantuan ini, Syed Abd Rahman Syed Mustafa melahirkan rasa terharu dengan bantuan yang diterima. Beliau yang mengalami cacat penglihatan disebabkan kemalangan jalan raya kini hilang punca pendapatan. Beliau menghargai usaha pihak UMP ini dalam memberikan sumbangan sebegini kepada golongan yang memerlukan sepertinya.

PrintEmail