University Community

Projek MyGift 'Lighting Up the Community’ bantu ringankan beban keluarga asnaf

1
3
4
Rompin, 21 Julai- Tiada apa yang lebih menggembira dan melegakan hati seorang warga emas, Mai Bakar, 89 tahun yang uzur dan penghidap penyakit asma apabila menerima kunjungan sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam menjalankan program khidmat sosial Projek MyGift bertemakan 'Lighting Up the Community’ di rumah yang didiami sejak 30 tahun lalu di Kg. Tekek Pulau Tioman.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mashitah Mohd Yusoff, pihaknya memasang sistem lampu tumpu berkuasa suria bagi keluarga ini mendapatkan pencahayaan di rumah ini tanpa membebankan isi rumah malahan dapat menjimatkan bil elektrik lebih 60 peratus.

Memandangkan UMP mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut, universiti mengambil inisiatif dengan mengaplikasikan kemahiran dan kepakaran ke lapangan yang dapat dimanfaatkan komuniti setempat. Penglibatan UMP ini membolehkan universiti berperanan secara lebih konstruktif dalam merealisasikan Pelan Strategik UMP 2016-2020 dengan tema 'Memasyarakatkan Teknologi’.

Katanya, menjadi hasrat UMP untuk merakyatkan kewujudannya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada penawaran program-program akademik arus perdana, tetapi juga mampu berperanan sebagai sebuah institusi sosial yang menjadi pemangkin peningkatan literasi pengetahuan dan kemahiran untuk anggota masyarakat yang lain.

“Di samping itu, kami juga menghulurkan bantuan termasuk sumbangan makanan dan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, susu dan pakaian sekolah hasil kerjasama pihak Persatuan Wanita UMP (Matahari) bagi meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Sementara itu, bagi Jurutera Elektrik Kanan Unit Kecekapan Tenaga dari Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMP, Mohd. Nurakla Mohd Azlan, berkata pihaknya telah memasang panel solar berkapasiti 200 watt yang dijangka dapat menerangi rumah ini dengan adanya 10 lampu dan kipas yang dapat bertahan dalam tempoh 24 jam.

Bagi Sunoorakmanizan Sauad, 32, sejak kematian suami akibat penyakit jantung beberapa bulan lalu, beliau menjalani kehidupan serba sederhana bersama keluarganya di rumah yang cukup uzur di atas tapak tanah milik orang lain. Untuk menampung segala kos dan keperluan harian, beliau bekerja di syarikat pembersihan untuk membesarkan tiga anaknya yang masih bersekolah, iaitu Izzatul Ilyani Abd Rahim (14 tahun), Aleeya Mysara Maslan (10 tahun) dan Muhammad Hazama Darwisy Maslan (6 tahun). Beliau amat menghargai sumbangan ini dan mengharapkan anak-anaknya dapat belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga.

Dalam pada itu, UMP telah menjalankan projek khidmat sosial 'Lighting Up the Community’ ini dengan pemasangan solar melibatkan beberapa lokasi lain termasuklah Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), SMK Sg Soi, SK Chini dan SK Runchang.

Print Email