University Community

Staf Makmal Berpusat berbakti bersama anak yatim

 

Kuantan, 16 Ogos – Seramai 16 orang staf dan dua orang pelajar latihan industri Makmal Berpusat Universiti Malaysia Pahang (UMP) meraikan anak-anak yatim dalam  Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang diadakan di Rumah Kebajikan Anak Yatim & Fakir Miskin Perempuan Permata Al Insyirah, Sungai Isap Kuantan baru-baru ini.

Program ini merupakan program CSR yang kedua selepas penglibatan pertama Makmal Berpusat UMP bersama masyarakat luar di Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad, Kuantan tahun lalu.

Menurut Pengarah Makmal Berpusat Prof. Madya Dr. Gaanty Pragas A/L Maniam, program ini bertujuan mendekati golongan yang kurang bernasib baik dan merealisasikan hasrat pengurusan UMP dalam kerja kesukarelawanan dan memasyarakatkan universiti selain memperkenalkan Makmal Berpusat ini kepada pihak umum.

Program CSR ini memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti pembersihan, naik taraf sudut belajar dan sumbangan peralatan. Program sebegini juga dapat melahirkan staf yang berketerampilan dan berkarisma serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat setempat.

 

Tambah beliau, aktiviti pembersihan bertumpu di kawasan stor peralatan dan makanan. Kerja-kerja terlibat adalah seperti membersihkan kawasan stor, ruang makan, membasuh, mengering dan menyusun pinggan mangkuk dan peralatan memasak.

Selain itu, penyimpanan stok makanan seperti beras, milo, gula dan pelbagai jenis stok makanan disusun dengan kemas seta membuat pemeriksaan terhadap tarikh luput penggunaannya. Bagi aktiviti naik taraf ruang belajar, kerja-kerja melibatkan pembersihan ruang, pembaikan kecil, susun atur kedudukan kerusi dan meja serta pemasangan langsir menjadikan ruang belajar lebih menarik dan kondusif. Dalam pada itu, Makmal berpusat juga menyumbang peralatan seperti kotak penyimpanan peralatan dan langsir baharu untuk keperluan dan keselesaan penghuni.

Pengurus Rumah Kebajikan Anak Yatim & Fakir Miskin Perempuan, Permata Al Insyirah, Salawati Hassan menghargai penganjuran program CSR dan sumbangan yang akan dimanfaatkan penghuni di rumah ini. Lebih bermakna anak-anak turut berpeluang menikmati sajian Kentucky Fried Chicken (KFC) sebagai jamuan makan tengahari  dan pizza sumbangan ikhlas daripada pihak Domino’s Pizza Taman Tas, Kuantan.

PrintEmail