University Community

UMP Santuni Masyarakat Temerloh

 

Temerloh, 11 Mac – Seramai 100 orang sukarelawan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) terdiri daripada pelajar dan staf menyertai Program Sukarelawan 1Malaysia Negaraku. Program anjuran 1Malaysia for Youth (IM4U) ini adalah salah satu inisiatif dari Pejabat Perdana Menteri Malaysia bagi menyemarakkan semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kampung Seberang Temerloh menjadi lokasi tumpuan dengan melibatkan penyertaan pelatih Program Latihan Khidmat Negara, belia-belia kampung serta penduduk setempat. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah mengecat mural, menggantikan kanvas tarpaulin, membuat meja simen fero, membaiki padang futsal dan banyak lagi.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti terkenal Malaysia iaitu Izzue Islam dan Arja Lee yang bersama-sama turun padang melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan masjid dan kawasan sekitar serta terlibat dalam penyediaan jamuan rakyat secara gotong-royong di Masjid Kg Teluk Ira.

 

Hadir sama dalam program, Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ts Dr. Muhamad Mat Noor yang berpendapat program seperti ini dapat menyemaikan kecintaan belia kepada negara.

“Tambahan pula dapat memupuk rasa syukur kerana dilahirkan dalam negara yang aman dan harmoni. Kita mengharapkan semangat kesukarelawan terus subur dalam diri warga UMP supaya dapat menyumbang tenaga kepada negara dan bangsa kelak,” katanya.

Manakala bagi pelajar UMP, Muhammad Aimaan Mohd Amran dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan yang sangat berminat dengan aktiviti kesukarelawan melahirkan perasaan gembira kerana dapat berkolaborasi dalam program di bawah kelolaan iM4U.

Ujarnya, dengan melakukan aktiviti yang ringkas seperti membantu masyarakat setempat juga dapat memupuk rasa sayang kepada negara. Tidak ketinggalan juga para sukarelawan berkesempatan melawat dan merasai sendiri pengalaman menangkap ikan sangkar yang diusahakan oleh penduduk kampung.

Disediakan oleh Rozana Sahadan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Berita disunting oleh Bahagian Komunikasi dan Korporat.

Print Email