University Community

Tanaman fertigasi Projek Facelift D’ Kuala tingkat ekonomi keluarga

 

Pekan, 30 April- Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus mengerakkan kerja-kerja kemasyarakatan dalam kalangan warganya melalui pelaksanaan Projek Facelift D’ Kuala yang merupakan usaha universiti mengubah wajah dan identiti Kuala Pahang menjadi sebuah perkampungan nelayan yang berteknologi tinggi. Dalam usaha menaik taraf kampung ini kerja-kerja mengecat rumah penduduk, pembersihan, pengindahan, baik pulih rumah dan pemasangan solar bakal memberikan keselesaan kepada penduduk. Sehingga kini program dijalankan secara besar-besaran dalam memasyarakatkan universiti menerusi pengetahuan dan teknologi membabitkan seramai 61 peserta di Kuala Pahang dan 21 keluarga di Kg. Serun Dalam Nenasi Pekan.

Dalam program Ziarah Facelift @ Kuala Pahang baru-baru ini menyaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad hadir bersama Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Ts. Dr. Daing Nasir Daing Nasir Ibrahim dan ahli Lembaga Pemegang Amanah MyGift iaitu Dato’ Mohd Nizar Dato’ Sri Najib yang juga Pengarah Eksekutif Deloitte Corporate Advisory Services Sdn Bhd . Hadir sama Izwan Hasli Ibrahim yang merupakan juga Ketua Pegawai Operasi Petronas ICT Sdn Bhd  berpeluang beramah mesra dengan peserta Facelift di kedua-dua lokasi program.

Pembinaan Kuala Pahang House atau singkatannya KP House juga merupakan  pusat sehenti aktiviti dan interaksi antara warga UMP dan generasi muda di Kampung Kuala Pahang. Ianya diupayakan sebagai wahana transformasi pengetahuan dan pendidikan dalam kalangan masyarakat setempat. Pelaksanaan inisiatif Kuala Pahang Facelift 2.0 kini memberi tumpuan kepada aspek motivasi diri, literasi pengetahuan, penerapan minat Sains, teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Sains (STEM) dan Bahasa Inggeris melalui penglibatan warga kerja dan mahasiswa Universiti ini.

Menurut Dato’ Sri Ibrahim, UMP memperkenalkan Projek Facelift ini dalam usaha untuk mengubah wajah dan identiti Kuala Pahang sebagai Perkampungan Nelayan selain memaknakan kewujudan UMP sebagai salah satu Universiti Awam (UA) di Malaysia. Tumpuan telah diberikan terhadap transformasi fizikal, rumah-rumah kediaman, masyarakat setempat di Kampung Kuala Pahang, sumbangan perabot dan kesedaran kebersihan bagi merealisasikan ungkapan Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku dalam erti kata yang sebenarnya.

“Kuala Pahang terletak berhampiran dengan kampus universiti dan seiring dengan pembangunan UMP kita terpanggil untuk melakukan beberapa proses transformasi menerusi projek pembangunan fizikal dan berkongsi kepakaran dengan masyarakat setempat. Ini termasuklah meningkarkan taraf hidup penduduk kampung dengan aktiviti yang boleh menjana pendapatan keluarga yang kebanyakannya berpendapatan rendah (B40) dan bekerja sebagai nelayan juga mengusahakan hasil laut, “ katanya.

 

Ujar beliau tumpuan diberikan dalam mentransformasi minda dengan menekankan aspek pembangunan isi rumah dengan memberi motivasi, membangunkan ekonomi keluarga dengan projek kebun sayur fertigasi, program peningkatan akademik anak-anak, kemahiran hidup dan menanam sikap pentingkan kebersihan.

Pada masa ini UMP berkongsi kepakaran  dengan memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada penduduk Kampung Kuala Pahang menanam sayur terung, bayam dan jagung menggunakan kaedah fertigasi bagi membantu mereka menjana pendapatan keluarga terutamanya semasa musim tengkujuh serta tidak dapat ke laut.

Turut berlangsung Majlis Pecah Tanah Facelift 2.0 di Kg Serun Dalam Nenasi yang merupakan lokasi kedua pelaksanaan program Facelift UMP. Penerima manfaat peserta Facelift Nenasi, Ab. Jalil Abd Hj Abdul Karim bakal menerima rumah baharu setelah 22 tahun tinggal di rumah serba dhaif bersama isterinya, Halimah Abdullah serta tiga anaknya yang masih bersekolah.

Bagi peserta Facelift Kuala Pahang, Nyak Rosnah Othman yang kini tinggal di rumah baharu melahirkan penghargaan  terima kasih kepada keprihatinan Perdana Menteri dan UMP yang membolehkan mereka sekeluarga dapat menikmati kehidupan lebih baik. Jika sebelum ini mereka tinggal di rumah yang sudah usang dan rosak kerana dimakan anai-anai, sekarang ini rumah lebih selesa dan mempunyai tiga bilik. Beliau yang juga peserta kemahiran empower ECER akan meneruskan perniagaan urutan selepas bersalin dan rawatan kecantikan dan perkhidmatan SPA bergerak untuk kemudahan pelanggan.

Manakala bagi Rosli Othman yang kini tinggal dalam rumah yang lebih selesa turut disediakan ruang untuk bercucuk tanam dengan menggunakan teknologi fertigasi  di halaman kediamannya. Ianya membolehkan beliau menambah pendapatan dengan menjual sayur ditanam sendiri serta mendapat bimbingan penyelidik UMP serta mengikuti kursus disediakan UMP bagi meningkatkan produktiviti tanaman menggunakan teknologi terkini.  

Print Email