University Community

Sumbangan Raya FTEK UMP ringankan beban asnaf sambut Aidilfitri

Kuantan, 11 Jun- Prihatin dengan nasib golongan asnaf yang serba kekurangan apatah lagi tatkala umat Islam kian sibuk membuat persiapan menjelangnya sambutan Aidilfitri, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTEK) menganjurkan program Bakti Ihsan FTEK Prihatin dengan menghulurkan sumbangan barang keperluan bagi membantu mereka yang serba kekurangan ini untuk sama-sama merayakan Aidilfitri.

Dalam program ini seramai 60 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari fakulti ini terlibat dalam mengagihkan sumbangan kepada 100 keluarga asnaf membabitkan 17 buah kampung dan taman perumahan di sekitar Kuantan. Sukarelawan FTEK ini bergerak mengikut lima kumpulan membabitkan beberapa lokasi antaranya termasuklah Permatang Badak, Kampung Tiram, Kampung Jawa, Kg. Belukar, Kurnia maju, Pandan , Peramu dan Tanah Putih.

Menurut Dekan FTEK, Profesor Dato’ Dr. Zularisam Abd. Wahid, program ini hasil cetusan staf di jabatan ini atas keinsafan dan kesedaran dalam membantu golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan. Pihaknya juga menerima bantuan dan sokongan daripada pihak Majlis Ugama Islam Daerah Kuantan terutamanya dalam mengenalpasti golongan sasaran.

“Program ini juga dapat memberi peluang terhadap staf dalam bertemu ke lapangan bersama masyarakat bagi mengeratkan hubungan serta beramah mesra bersama komuniti setempat. Selain itu, ianya juga dapat merealisasikan agenda kesukarelawan dalam menjadikan universiti ini sebagai universiti komuniti,” katanya.

Sementara itu, bagi penerima sumbangan yang merupakan ibu tunggal, Norakza Ghazali, 36, yang menetap di Kampung Razali menghargai sumbangan UMP ini memandangkan beliau tidak mempunyai sebarang pendapatan bagi menyara keluarga. Apatah lagi keadaan dirinya yang mengidap penyakit kronik buah pinggang dan tulang, malahan bergantung harap kepada sumbangan saudara mara sahaja.

Begitu juga dengan Shahmiza Yaakob, 35, yang tinggal di Kg Kurnia, juga merupakan ibu tunggal yang membesarkan tujuh orang anak yang masih kecil. Beliau juga tidak mempunyai sumber pendapatan dan hanya bergantung harap kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM 450 sebulan. Lebih membebankan beliau terpaksa menanggung kos rawatan anaknya yang mengidap sakit jantung kronik. Bagi Shahmiza, sumbangan ini sangat bermakna buat keluarganya dan tidak sabar untuk meraikan Aidilfitri bersama anak-anak.

Sumbangan yang disampaikan ini juga menyemai sikap cakna warga kampus dalam menjalankan tanggungjawab sosial dan prihatin terhadap masyarakat sekitar kampus. Setiap keluarga ini menerima sumbangan berbentuk keperluan harian seperti beras, gula, susu, minuman Milo, minyak, tepung, teh, ketupat Adabi dan minuman kordial F&N.

Print Email