University Community

Afizfaiz tabah masuk universiti tanpa insan tersayang

Kuala Lumpur, 1 September- Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Bakal bergelar mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ahmad Afizfaiz Roslan, 19 tahun terpaksa akur dengan suratan takdir apabila saat-saat yang dinanti untuk melangkah ke menara gading menjelang tiba tanpa bersama insan tersayang.

Arwah ayahnya  Roslan Ismail, 49, dan adiknya, Ahmad Azrifaiz, 18, meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Langat seminggu sebelum tarikh pendaftaran (Ahad lalu) manakala neneknya, Esah@Aishah Talib, 75  meninggal dunia pada hari Selasa berikutnya. Sebagai anak sulung daripada empat beradik, kini Ahmad Afizfaiz terpaksa kuat untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan membantu ibunya dalam situasi sekarang ini serta menguruskan persekolahan dua adiknya, Ahmad Arizfaiz Roslan (13 tahun) dan Ahmad Aziffaiz Roslan (10 tahun). 

“Saya merancang untuk menaiki bas ke UMP pada hari pendaftaran dan memohon untuk tidak menyertai Minggu Induksi Siswa memandangkan banyak urusan keluarga perlu diselesaikan. Saya akan kembali ke kampus pada hari Rabu atau Khamis depan,” katanya yang bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) di Fakuliti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian. Beliau tidak menyangka pihak UMP menghubunginya dan memberi kemudahan dengan meringkankan urusan pendaftarannya. 

Bagi ibunya, Dr Ajura Abdul Jalil, 48 yang merupakan pakar patologi mulut di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah sangat menghargai keperihatinan UMP dalam membantu urusan pendaftaran anak sulungnya dengan berkunjung ke rumahnya di Bangi.

Beliau berharap anaknya, Ahmad Afizfaiz akan belajar bersungguh-sungguh dengan cemerlang dan menjadi contoh buat adik-adiknya serta membanggakan keluarganya. “Sekiranya arwah suami masih ada, pastinya arwah juga gembira melihat anaknya berjaya melangkah masuk universiti,” katanya. Hadir bertemu keluarga ini adalah Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Muhamad Mat Noor bersama Eksekutif Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Azlina Abdul Mubin.

Menurut Dr. Muhamad, pihaknya cakna bagi mengurangkan beban mahasiswa dan keluarga untuk hadir mendaftar dan pihaknya juga menyediakan kemudahan  penginapan dan pengangkutan ke universiti bagi mereka yang memerlukan dalam memastikan bakal mahasiswa tiada halangan untuk hadir mendaftar untuk meneruskan pengajian ke universiti. Selain itu terdapat juga Insentif Pendidikan UMP bagi pelajar kurang berkemampuan dan miskin serta anugerah kecemerlangan MyGift kepada mahasiswa cemerlang yang terpilih dengan pembiayaan biasiswa penuh sehingga  tamat pengajian. 

Dalam pada itu seramai 2104 pelajar baharu mendaftar pada hari pendaftaran bagi mengikuti Program Sarjana Muda Sesi Akademik 2018/2019 di UMP Gambang dan UMP Pekan yang berjalan serentak. Hadir menyambut pelajar dan keluarga adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin dan Pendaftar merangkap Ketua Pegawai Operasi, Abd. Hamid Majid pada jam 10.00 pagi di Kompleks Sukan UMP Gambang.  

Print Email