University Community

FKM Reka Kerusi Buat Adam

Pekan, 6 September- Seorang kanak-kanak kelainan upaya (OKU) tersenyum gembira apabila menerima kerusi roda khas yang dinamakan Adam’s Chair yang dihasilkan oleh mahasiswa dan sekumpulan pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) baru-baru ini. Muhammad Adam Ayrash Abdullah, 8 tahun merupakan murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Serandu yang mengidap Cerebral Palsy (CP) sejak lahir sehingga menyebabkannya ketidakupayaan mengawal pergerakan otot.

Menurut ibunya, Hafizah Mohamad Hamdan, 27, jika sebelum ini semua pergerakan Adam menggunakan stroller dan kerusi roda biasa. Namun memandangkan keadaan Adam yang semakin membesar ianya mudah mengelongsor ke bawah. “Banyak perbezaan Adam berbanding dahulu dan sekarang. Setiap hari bersemangat untuk ke sekolah. Selain itu dengan adanya Adam’s Chair kini Adam dapat menulis di atas meja dan lebih selesa dan belajar bersama pelajar lain di dalam kelas,” katanya yang juga ibu tunggal.

Beliau amat berterima kasih kepada UMP yang sudi menghasilkan sebuah kerusi roda khas untuk kesesuaian dengan keadaan anaknya. Selain itu menghargai sokongan dan bantuan guru sekolah yang sangat prihatin dan mengambil berat tentang anaknya. Ekoran keterujaan itu, Adam yang petah berkata-kata, berulang kali mengucapkan “Terima kasih UMP” sambil tersenyum gembira dengan kerusi baharunya itu.

Adam yang bercita-cita untuk menjadi ustaz apabila dewasa kelak turut menunjukkan bakatnya melaungkan azan. Malahan semangat bersungguh-sungguhnya itu menjadi penguat semangat buat ibu dan guru-gurunya untuk terus membimbingnya belajar seperti kanak-kanak lain.

Hadir dalam majlis serahan kerusi khas ini adalah Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FKM, Prof. Madya Ir. Dr. Haji Nik Mohd Zuki Nik Mohamed bersama kumpulannya. Menurut Prof. Madya Dr. Nik, pihaknya bersyukur berkat usaha staf Manufacturing Focus Group berjaya menghasilkan Adam’s Chair bagi kemudahan Adam untuk digunakan sebagai kemudahan seharian. Projek ini adalah selari dengan usaha UMP dalam agenda Memasyarakatkan Teknologi yang dilaksanakan di universiti ini untuk memanfaatkan masyarakat setempat.

Ujarnya, idea ini bermula semasa sesi lawatan pihak FKM ke sekolah tersebut dan pihak sekolah memaklumkan mengenai situasi seorang pelajarnya yang mengidap CP dan memerlukan kerusi yang bersesuaian dengan keadaan Adam.

Justeru setelah mengadakan beberapa kali perbincangan antara pihak sekolah dan UMP, Adam’s Chair berjaya dihasilkan dengan kerjasama sekumpulan pensyarah dalam tempoh sebulan. Ujarnya, kerusi ini sememangnya mengambil kira beberapa ciri penting seperti papan meja mudah alih, sistem brek dan kunci, tempat duduk yang selesa serta ciri –ciri keselamatan yang lain.

Tambahnya lagi, untuk perancangan masa akan datang pihaknya sedang berusaha untuk menghasilkan alat bantuan latihan berjalan untuk Adam. Beliau mengharapkan dengan bantuan ini dapat memberi harapan dan semangat kepada Adam dan keluarganya.

                                                                          

 

Print Email