University Community

Program Saintis Turun ke Desa memperkasa bidang STEM

Saintis Turun Desa Saintis Turun Desa2

Maran, 2 Januari – Penganjuran program Saintis Turun ke Desa oleh Komuniti Renaissance of Science Educators (ROSE) yang dianggotai oleh gabungan pensyarah, mahasiswa, dan alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI) mampu meningkatkan tahap celik dan minat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda serta komuniti setempat.

Program yang berlangsung di Kampung Kuala Wau, Maran baru-baru ini melibatkan   seramai 60 pelajar sekolah rendah dan menengah dari Kampung Kuala Wau, Maran bagi mensasarkan perkembangan potensi individu secara menyeluruh. Ianya juga membabitkan seramai 15 orang guru dan 16 keluarga angkat dengan dikendalikan oleh seramai 70 fasilitator dalam kalangan mahasiswa UMP yang sedang mengikuti program Teknologi Bahan, Bioteknologi Industri dan Kimia Industri.

Hadir merasmikan program, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa),  Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff ,  Ketua Unit Pengurusan Sekolah, Mohamed Bakri Abdul Malek yang mewakili Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Maran. Turut hadir, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kuala Wau (SKKW),  Saharul Nizam Haji Bahaman, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kuala Wau, Mohd Zurin Md Jais dan pengarah program, Ts. Dr. Saifful Kamaluddin Muzakir @ Lokman.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, pihaknya menzahirkan perasaan bangga terhadap kejayaan program ini yang merupakan salah satu usaha UMP dalam meningkatkan minat pelajar sekolah dalam bidang STEM.  Program ini secara langsung dapat mendokong Falsafah Pendidikan Negara dan matlamat pendidikan STEM iaitu melahirkan murid-murid berliterasi STEM yang berupaya untuk mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasi konsep STEM dalam penyelesaian masalah secara kreatif dan inovatif.

“Matlamat pendidikan STEM perlu diperkasakan kerana semakin banyak aplikasi teknologi melibatkan mesin dan komputer telah direncanakan di dalam Revolusi Industri ke-4. Fenomena ini bukan lagi terfokus  dalam konteks industri malahan dalam segala operasi rutin dan harian di dalam komuniti. Kita juga bakal menyaksikan kewujudan pelbagai pekerjaan baharu yang tidak lagi terfikir bentuknya”, ujarnya.

Beliau mengharapkan dengan usaha ini lebih ramai ahli akademik, teknologis, alumni dan mahasiswa UMP akan berganding bahu, berkongsi idea untuk menggalakkan pembangunan  bakat dalam bidang STEM. Malahan juga mengharapkan program sebegini akan mendapat perhatian dari pihak industri sebagai pemegang taruh untuk turut serta dalam agenda pembangunan negara.

Sementara itu, Ts. Dr. Saifful Kamaluddin, dalam program ini, pelajar sekolah ini dilatih berfikir secara kritikal dan logik melalui hasil ujikaji Sains dan Matematik menggunakan sumber yang terdapat di kampung halaman.  Selain itu, membimbing pelajar memupuk sikap berkeyakinan tinggi dalam membuat keputusan melalui kaedah hipotesis bersandarkan fakta serta menunjukkan suri teladan terhadap aspek kerohanian termasuklah menanam sifat jujur, amanah, suka berkongsi ilmu juga kepimpinan.  

Pihaknya juga telah menjalankan beberapa program lain termasuklah Lighting Up the Community, Kem Saintis Muda dan Science Hero di beberapa sekolah sejak tahun 2017 sebagai pendedahan awal yang dapat mengurangkan persepsi segelintir pelajar terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik yang dianggap agak sukar dan tidak dapat melihat mengaplikasikannya di luar kelas. Sedangkan negara mensasarkan keperluan pengambilan pelajar sebagai persediaan menjelang Revolusi 4.0 adalah seramai  270,000 setiap tahun berbanding hanya 79,200 pelajar direkodkan mengikuti pengajian berkaitan bidang STEM sehingga tahun 2017.  

Print Email