University Community

Program Selangkah ke UMP Suntik Semangat Pelajar Sekolah Capai Kejayaan

Program Selangkah ke UMP bersama anak-anak Janda baik, Pahang anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 9 April 2013 yang lalu mampu memberi suntikan semangat kepada 60 orang pelajar yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di daerah tersebut.

Pelajar yang hadir berpeluang menyelami kehidupan sebagai mahasiswa kampus dengan tinggal di asrama selama dua hari diiringi empat orang guru pembimbing iaitu Ustaz Zainal Bidin, Wan Ahmad Shahrul Azwan Che Mohd, Rohaida Ahmad dan Prema Chandra Sakaran Naidu.

Menurut Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Abdul Na'em Suhaime, program melibatkan 25 mahasiswa UMP ini adalah kesinambungan Program Kembara Radio Malaysia Pahang FM bersama UMP yang bertujuan mendekati masyarakat dan komuniti di Kampung Janda Baik Bentong.

Modul yang disediakan sepanjang program berlangsung begitu komprehensif antaranya sesi ice-breaking, program eksplorasi, slot kreatif & inovasi, sesi motivasi dan muhasabah diri, melawat makmal dan fasiliti sekitar kampus universiti. Mereka turut berpeluang berkunjung ke pameran Hari Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di TUDM Kuantan dan melawat ke konti radio RTM Pahang.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bahagian Bentong, Datuk Johari Harun, yang hadir merasmikan majlis penutup program Selangkah ke UMP bersama anak-anak Janda Baik memuji penglibatan PIBG, guru dan mahasiswa UMP dalam usaha memupuk nilai-nilai murni di kalangan pelajar untuk berjaya dalam kehidupan.

Hadir sama dalam majlis penutup adalah Pengarah Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat UMP, Profesor Dr. Zulkefli Yaacob dan Pengarah Penyiaran RTM Pahang, Zubad Ibrahim.

Print Email